Neitzel teruja Selangor lakar kebangkitan sebelum menang

Oleh Ammar Hakim 19 April 2021 288
Neitzel teruja Selangor lakar kebangkitan sebelum menang
Selangor FC bangkit daripada ketinggalan untuk membenam cabaran Melaka United 3-2 dalam aksi kesembilan Liga Super di Stadium Hang Jebat, semalam.

Ini merupakan kali pertama gergasi Merah Kuning itu mencatatkan dua kemenangan berturut-turut musim ini dan meletak skuad kendalian Karsten Neitzel di tangga kelima.

Percaturan pengendali Selangor, Neitzel membawa masuk Mukhairi Ajmal dan Syahmi Safari, ternyata mengubah nasib pasukannya untuk bangkit mengatasi Melaka.

Mukhairi dan Syahmi dimasukkan ketika pelawat ketinggalan 1-2, dan kedua-dua pemain itu memberikan impak buat merah kuning apabila Mukhairi menjadi arkitek kepada gol penyamaan yang dijaringkan Ifedayo Olusegun manakala Syahmi muncul wira dengan gol kemenangan. 



Neitzel teruja dengan reaksi positif yang ditampilkan anak-anak buahnya bagi memastikan Selangor pulang dengan tiga mata.

"Kami memiliki barisan pemain gantian yang berkualiti dan ia berhasil untuk pasukan dalam perlawanan ini," katanya.

"Neitzel telah memberitahu saya untuk membantu pasukan ketika menyerang dan dalam masa sama tidak melupakan permainan bertahan," kata Syahmi.

"Saya sangat gembira kerana dapat menjaringkan gol dalam perlawanan ini."

Bagi pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, kekalahan tersebut amat perit untuk ditelan terutamanya selepas menyaksikan tuan rumah dua kali memimpin perlawanan.

Namun kepincangan barisan pertahanan terutamanya dalam separuh masa kedua memaksa skuad Hang Tuah berputih mata.

"Amat mengecewakan kerana kami telah tewas dalam dua perlawanan berturut-turut walaupun telah mendahului permainan. Kami telah beraksi dengan cemerlang dalam separuh masa pertama namun Selangor bangkit mendapatkan kemenangan pada penghujung permainan," kata Zainal.

Kredit: Selangor FC

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen