Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain, lega dengan kepulangan semula penyerang utamanya, David Da Silva, menjelang perlawanan Liga Super menentang Petaling Jaya City FC, Jumaat ini.

Da Silva umpama ayam tambatan Terengganu musim ini tetapi malangnya pemain dari Brazil itu terlepas empat perlawanan sejak mengalami kecederaan dalam aksi pembukaan musim ini

Ketiadaan Da Silva diisi oleh Jordan Mintah tetapi pemain import dari Ghana itu akan dikembalikan kepada Terenggangu FC II dan Nafuzi berharap Da Silva dapat memberikan aksi yang lebih baik berbanding Mintah.

"Jordan Mintah merupakan pemain yang kami pinjam daripada kelab sokongan, Terengganu II, kerana kecederaan Da Silva," katanya kepada Nadi Arena.

"Memandangkan Da Silva sudah kembali, kami memulangkan semula Jordan kepada Terengganu II kerana mereka juga memerlukan penyerang."

Menjelang pertemuan dengan PJ City, Nafuzi mahu pasukannya mengutip tiga mata penuh bagi menyaingi pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT).

"Kami memerlukan momentum (kemenangan) untuk bersaing dengan pasukan-pasukan atasan.

"Apa yang penting, perlawanan dengan PJ City ini perlu menjadi batu loncatan bagi perlawanan kami yang seterusnya.

"Saya harap kehadiran Da Silva dapat memberikan lebih kelancaran buat pasukan Terengganu," tambahnya.