Ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Benjamin Mora, berasa lega apabila pasukannya kekal beraksi dengan 11 pemain ketika menewaskan Sri Pahang FC 2-0 dalam perlawanan Liga Super semalam.

Pertembungan di Stadium Darul Makmur itu berlangsung hangat dengan siri terjahan keras daripada pemain kedua-dua pasukan.

JDT jelas tidak berpuas hati apabila dinafikan sepakan penalti susulan bola terkena tangan pemain lawan dalam babak kedua.

Ia mendorong penyerang, Gonzalo Cabrera, berinteraksi dengan pengadil dan dilayangkan kad kuning gara-gara tindakannya itu.

Pahang terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain apabila Ezannie Mat Salleh diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad kuning kedua susulan tindakannya melakukan terjahan tinggi ke atas Cabrera pada minit ke-70.

Mengulas mnengenai perkara itu, Mora berkata: "Pemain bola sepak akan berasa kecewa apabila terdapat insiden bola terkena tangan dalam kotak penalti. Saya perlu melihatnya semula dengan lebih teliti tetapi ia kelihatan bola terkena tangan.

"Sudah pasti apabila tidak diberikan sepakan penalti (dengan insiden seperti itu), ia akan membuatkan kesemua kami, terutama pemain berasa kecewa.

"Dan ia juga sesuatu yang mengecewakan buat pasukan lawan apabila mereka mendapat kad (merah). Saya dapat lihat mereka juga agak marah.

"Bagi saya, ia sebahagian daripada permainan ini. Selagi kita menghormati pengadil dan pihak berkuasa, dan selagi kami menghormati lambang kami, saya baik-baik sahaja dengannya.

"Kita semua manusia biasa dan ini merupakan satu kejohanan dan saya juga sentiasa berasa kecewa," katanya.