Melaka United mempertaruhkan sentuhan samba untuk menghadapi baki pusingan kedua Liga Super 2021 apabila mereka menandatangani dua penyerang dalam jendela perpindahan kedua pemain Liga Malaysia (Liga-M) yang dibuka sepanjang bulan ini.

Giovane Gomez kelab Brazil, Caxias, bakal berhijrah ke Melaka secara pinjaman hingga hujung tahun ini.

Penyerang berusia 26 tahun itu sudah menjalani ujian perubatan dan akan diperkenalkan secara rasmi bersama seorang lagi pemain dari negara Amerika Selatan itu dalam masa terdekat.

Kedua-dua pemain itu bakal menggantikan penyerang Montenegro, Stefan Nikolic; dan penyerang yang juga dari Brazil, Alex Goncalves, yang ditamatkan kontrak awal bulan ini.

Selain itu, Sang Kancil juga difahamkan mahu menandatangani bekas pemain tengah Harimau Muda A, Gary Steven Robbat, secara pinjaman daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) II.

Dalam masa sama, di sebalik pelbagai kontroversi dan khabar angin menyentuh status serta kedudukan ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan, akhirnya menemui jawapan apabila sah akan mengemudi pasukan hingga hujung musim ini.

"Kami sudah mengkaji secara menyeluruh, jadi kami ambil keputusan mengekalkannya hingga akhir musim ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baru MUFC, Datuk Seri Justin Lim, dalam Nadi Arena, sebentar tadi.





Justin turut menjelaskan CEO terdahulu, Datuk Saiful Saperi, mengambil keputusan meletakkan jawatannya berkuat kuasa hari ini.

"Berikutan kedudukan Melaka United hari ini, terdapat tekanan tinggi daripada penyokong dan mereka mahu melihat perubahan.

"Kami berat hati tetapi sebagai pemilik, kami menerima peletakan jawatannya."