Manzoor Azwira tampak berpeluang untuk kekal mengisi kerusi panas Pulau Pinang musim depan berikutan isu dia tidak mampu memenuhi syarat wajib memegang lesen pro diploma Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) seperti yang ditetapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Namun, hasil risikan Wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, jurulatih berusia 44 tahun itu berpeluang untuk terus mengemudi skuad Haria Penang Haria selepas membantu pasukan berkenaan menjuarai Liga Perdana 2020 dengan menempa satu kekalahan sahaja.

"Di sini kami berdepan situasi yang berbeza. Tahun lalu kita tidak menghadapi kekangan COVID-19.

"Jadi pasukan Sabah telah naik ke Liga Super tetapi tidak dapat melantik seorang jurulatih yang masih menjalani kursus itu.

"Kami akan mengadakan perbincangan luar biasa dengan AFC sebelum mengambil apa-apa keputusan.

"Terlalu awal untuk saya ulas (peluang Manzoor) disebabkan peraturan ini ditetapkan AFC sendiri, jadi mereka akan buat pertimbangan.

"Keputusannya (pasti) akan berbeza disebabkan situasi pandemik ini, saya harap AFC dapat melihat isu semasa yang kami hadapi di Malaysia dan pertimbangan boleh diberikan kepada mana-mana pihak terbabit, yang dalam masa sama tidak beraksi dalam Piala AFC," jelas Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, di Petaling Jaya hari ini.

MAJLIS MAKAN MALAM APRISIASI & ANUGERAH Gambar-gambar yang sempat dirakam sekitar Majlis Makan Malam Aprisiasi &...

Posted by FA Penang on Thursday, October 22, 2020

Selain Manzoor, jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusoff, juga pasti menarik nafas lega dengan perkhabaran mengenai program lesen yang menelan belanja RM66,000.

Dia juga membawa The City Boys kembali ke Liga Super 2021 selepas menamatkan saingan di belakang Pulau Pinang.

Untuk rekod, semua jurulatih divisyen utama diwajibkan memiliki lesen pro bermula tahun ini sementara Liga Perdana akan diperkenalkan pada 2022.

"Jurulatih-jurulatih Liga Malaysia sepatutnya menghadiri modul terakhir (kursus pertama lesen kejurulatihan itu) pada Mac lalu tetapi berikutan COVID-19, modul akhir ini masih lagi tertangguh sehingga sekarang.

"Kursus kedua yang dijadualkan tahun depan pula masih dalam perbincangan kerana kami terlebih dahulu berhasrat mencari penyelesaian berhubung keperluan jurulatih Liga Super menghabiskan modul terakhir ini," katanya.