Pengendali baru Negeri Sembilan, Mario Lemos, memuji seluruh pasukannya kerana beraksi mengikut segala perancangan yang diterapkan sehingga membolehkan mereka menundukkan PKNS FC 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.

Bagi Lemos, dua jaringan menerusi sepakan penalti Flavio Beck dan satu gol hasil sumbangan Angel Guirado adalah bukti bahawa konsep melancarkan asakan bertali-arus jelas membuatkan benteng lawan menjadi goyah.

“Ketika tamat babak pertama, saya memberitahu seluruh pasukan agar terus melakukan hantaran lintang kerana pemain yang memiliki kelebihan fizikal memerlukan hantaran sebegitu.

“Barisan depan kami mempunyai saiz yang bagus tetapi jarang menguasai perebutan bola di udara. Selepas memberikan sepakan penalti, lawan melakukan kesilapan sama dan kami menggunakan kesempatan itu,” kata Lemos.

Dalam masa sama, ketua jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa apabila gagal mengutip mata di tempat lawan sambil mengakui anak-anak buah Lemos mempamerkan kemahuan tinggi untuk mencipta kemenangan.

“Berdasarkan corak permainan, PKNS wajar kalah. Kami tidak beraksi seperti dirancang dan Negeri Sembilan bermain lebih bertenaga serta berkeyakinan,” ujar Rajagobal.