"Simon Pablo Elissetche masih mempunyai kontrak bersama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA)," demikian kata Setiausaha Agung badan induk itu, Nokman Mustaffa, yang terkejut dengan kenyataan pengendali Chile itu selain memintanya datang berbincang.

Menerusi temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, Nokman turut menjelaskan bahawa KLFA tidak pernah menamatkan kontrak Simon yang diikat selama enam bulan.

Perbincangan itu sangat penting kerana kontrak pengendali itu ditandatangani bersama KLFA.

"Kami sebenarnya tidak pernah membatalkan kontraknya, sepatutnya dia perlu hadir ke KLFA, dia kena kerja enam bulan.

"Dia perlu bincang apa dia nak buat, dia tidak boleh kata dia minta pampasan, mungkin dalam tempoh ini kami perlukan dia juga.

"Jadi kita tengoklah apa perancangan yang akan diadakan dengan jurulatih ini, selepas itu kami akan tengok apa yang dibuat," kata Norman.

Biarpun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kuala Lumpur United FC (KLUFC), Stanley Bernard, enggan menggunakan khidmat Simon dalam saingan kancah Liga Super musim ini, KLFA masih berstatus majikan kepada jurulatih tersebut.

Skuad The City Boys akan dikemudi oleh bekas jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, untuk musim 2021.

Bojan Hodak terima lamaran Kuala Lumpur United

Posted by Astro Arena on Sunday, January 10, 2021



Sebelum ini, Simon membuat kejutan mahu mengheret KLUFC ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas menganggap kontraknya ditamatkan tanpa alasan munasabah.

Stanley mengambil serius tentang tuduhan yang dilontarkan dan peguamnya namun masih belum menerima surat tuntutan rasmi daripada pihak Simon.

"Daripada pihak KLUFC, kami memberitahunya bahawa kami tidak berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.

"Tetapi KLFA, mereka masih tidak melihat ini satu situasi bahawa mereka telah menamatkan (jawatan) atau menyatakan apa-apa kepada beliau.

"KLUFC tidak berminat dengan Simon dan itu sudah dinyatakan.

"Saya tiada hak untuk menamatkan kontraknya kerana dia tidak menandatangi kontrak bersama saya, tetapi yang keluar di media (adalah) KL United.

"Ini sesuatu yang perlu dilihat daripada segi tindakan mahkamah dan kami akan pastikan itu dilakukan secara rasmi.

"Saya tidak mahu perbicaraan di media kerana kami adalah satu institusi yang dihormati.

"Sudah pasti kami akan mengikuti saluran yang betul," tegasnya ketika ditemui di Cheras hari ini.