Kuala Lumpur City FC membuatkan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), keciciran mata selepas mempertahankan keputusan 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Selepas rekod 21 bulan tanpa kalah mereka lebur di tangan Terengganu FC minggu lalu, pasukan Harimau Selatan itu masih gagal mengembalikan rentak kemenangan selepas terikat dalam perlawanan padat aksi sepanjang 90 minit itu.

Kedua-dua pasukan saling berbalas asakan sepanjang babak pertama tetapi KL City terlebih dahulu menemui sasaran menerusi penyudah Romel Morales, yang bijak meloloskan diri daripada perangkap ofsaid untuk mengatasi Adam Nor Azlin dan seterusnya menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias, dalam waktu kecederaan sebelum rehat.

Tiada sebarang petanda untuk KL City bermain secara bertahan dalam babak kedua dengan Hadin Azman terlebih dahulu menguji gawang pelawat tetapi percubaan kaki kirinya ditepis keluar Farizal.

Mujur ketua pasukan, Hariss Harun, mampu membawa watak penyelamat buat JDT apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Nazmi Faiz Mansor untuk mengikat kedudukan buat pasukan kendalian Benjamin Mora itu pada minit ke-55.

Keputusan seri itu menyaksikan JDT berisiko dihambat Terengganu dengan mata yang sama seandainya skuad Peteh itu menewaskan Penang FC di laman sendiri malam esok.

2021 MALAYSIA SUPER LEAGUE Full Time KL CITY [1-1] JDT (Romel Morales 45'+3) (Hariss Harun 56') #KLCvJDT #LigaSuper2021 #LuaskanKuasamuJohor #JDTforAll

Posted by JOHOR Southern Tigers on Friday, 30 April 2021

Sementara itu, Kedah Darul Aman FC melonjak ke tangga kedua liga selepas menewaskan Melaka United 3-1 di Stadium Hang Jebat.

Pelawat terlebih dahulu di depan menerusi jaringan penalti Kpah Sherman susulan bola terkena tangan pemain import Melaka, Jang Suk-won, seawal minit ke-18.

Melaka kemudian kembali menyamakan kedudukan, juga menerusi sepakan penalti yang disudahkan Stefan Nikolic selepas Renan Alves menjatuhkan Manny Ott.

Kedah, bagaimanapun memastikan kemenangan milik mereka menerusi gol peribadi kedua Sherman pada minit ke-62 dan jaringan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, pada penghujung permainan.

Dengan kemenangan itu, Kedah kini mengumpulkan 23 mata dan hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu, JDT.


? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS11 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Friday, 30 April 2021