Penjaga gawang The Red Warriors (TRW), Khairul Fahmi Che Mat, meminta rakan di barisan pertahanan sentiasa bersedia mematahkan sebarang bentuk ancaman yang bakal dihadirkan tiga bekas pemain Kelantan dalam misi penting memburu kemenangan pertama saingan Liga Super menentang Perak di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok.

Khairul Fahmi yang lebih dikenali sebagai Apek berkata tiga pemain tersebut adalah Gilmar Jose da Silva Filho, Wanderluiz Bitencourt dan Brendan Gan yang mampu meranapkan hajat besar TRW jika dibiarkan bebas tanpa kawalan ketat.

“Kami perlu merantai pergerakan lincah Gilmar, Wanderluiz dan Brendan. Mereka cukup bersemangat untuk mengecewakan Kelantan di gelanggang keramat TRW. Mereka juga cukup ‘masak’ dengan corak permainan pemain Kelantan.

“Diharapkan rakan sepasukan, terutama di barisan pertahanan, tidak memberi ruang langsung kepada tiga pemain ini untuk bergerak bebas. Kami perlu fokus dan mengurangkan kesilapan,” katanya.

Ditanya mengenai corak latihan yang dikendalikan jurulatih sementara TRW, Yusri Che Lah, Apek menyifatkan semuanya berjalan lancar dan pemain memberikan kerjasama terbaik sepanjang sesi latihan yang diadakan.

“Insya-Allah, kami akan berikan sokongan dan kerjasama terbaik kepada pengendali untuk menyusun dan mengatur strategi mencari kemenangan pertama selepas tiga perlawanan Liga Super.

“Kehadiran bekas penyerang berbisa, Mohammed Ghaddar, sudah pasti menambah kekuatan di bahagian serangan,” katanya.

Untuk rekod, Kelantan bergelut untuk mencari kemenangan pertama selepas hanya mampu mengutip satu mata daripada tiga perlawanan Liga Super.

Perak pula berada di tangga ketujuh liga dengan empat mata hasil satu kemenangan dan sekali seri.