JDT 1 SELANGOR 1

Khairul Azhan Khalid muncul wira Selangor FC apabila menyekat rentak kemenangan Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk mengikat pendahulu Liga Super itu 1-1 di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.


Ketangkasan penjaga gol itu menyaksikan Harimau Selatan, yang turun dengan reputasi tiga kemenangan, terpaksa menggigit jari tatkala memiliki dua kesempatan terbaik menerusi sepakan penalti.

Malah, buat kali pertamanya gawang tuan rumah dirobek musim ini melalui rembatan rendah Ifedayo Olusegun dalam gerakan tersusun yang diumpan Oliver Buff pada minit ketujuh.

Namun, penyerang import, Bergson da Silva, yang menyusup ke dalam kotak penalti pelawat sebelum melakukan penyudah kencang memastikan JDT segera bangkit.

Shahrel Fikri Md Fauzi kembali meletakkan Gergasi Merah di depan sebelum jaringannya dibatalkan ekoran ofsaid.

Ketika beberapa insiden menghiasi kerancakan permainan, Arif Aiman Hanapi -- mengambil tempat Safawi Rasid yang tersisih akibat kecederaan memainkan peranan di bahagian sayap kanan -- kerap mencetuskan peluang berbahaya buat skuad bimbingan Benjamin Mora itu.

KEPUTUSAN MASA PENUH LIGA SUPER - LS4 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Wednesday, March 17, 2021


Dia memenangi sepakan penalti pertama pada minit ke-40 selepas dikasari Ashmawi Yakin tetapi gagal diterjemahkan dengan baik oleh pemain import, Gonzalo Cabrera, yang melepaskan rembatan tinggi.

JDT meneruskan misi mencari gol apabila lebih menyerlah memberi tekanan ke kubu kelab dari Lembah Klang itu.

Situasi itu memaksa Khairul Azhan perlu memberi reaksi terbaik untuk menafikan deretan sepakan percuma juara bertahan berkenaan.

Pada minit ke-57, giliran pintu gol JDT yang dikemudi Farizal Marlias diuji apabila dibayangi siri serangan balas Selangor FC.

Selepas mematahkan beberapa asakan, kegopohan pemain gantian, Zikri Khalili, ketika cuba mengekang Arif menghadiahkan satu lagi sepakan penalti buat JDT.

Begitupun, Khairul Azhan jelas kelihatan lebih bersedia untuk menampan tendangan Bergson yang menuju ke sebelah kirinya pada minit ke-78.

Ketika berbaki 10 minit permainan, kedua-dua penjaga gawang itu bertindak cemerlang khususnya menafikan usaha pemain import kelahiran Argentina, Leandro Velazquez, yang memiliki dua kesempatan untuk memacu JDT.

Keputusan malam ini menyaksikan posisi JDT di puncak Liga Super tidak tergugat selepas empat perlawanan berikutan pencabar terdekat yang turut mengumpul 10 mata, Terengganu FC, seri 1-1 dengan Melaka United di tempat sendiri.


Keputusan lain:

Liga Super:

KUALA LUMPUR CITY 3 PERAK FC 0

KEDAH DARUL AMAN 3 PJ CITY 1

Liga Perdana:

Perak II 0 Negeri Sembilan FC 2


? KEDUDUKAN LIGA SUPER - LS4 #LigaSuper2021

Posted by Malaysian Football League on Wednesday, March 17, 2021