Selepas perbincangannya bersama pihak pengurusan Perak FC gagal memberikannya kepuasan hati, Kenny Pallraj mengambil keputusan untuk angkat kaki daripada pasukan itu.

Biarpun dengan penuh rasa berat hati, anak jati Perak berkenaan terpaksa meninggalkan pasukan kesayangannya itu demi kebaikan bersama dan bagi meneruskannya karier bola sepaknya bersama pasukan baru, Kuala Lumpur City FC.

Kenny menjadi saksikan keretakan yang berlaku dalam skuad The Bos Gaurus itu.

Menyifatkannya sebagai sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, pemain yang sudah bersama Perak sejak 2016 itu memberanikan diri untuk bersuara dan memohon penjelasan daripada pihak pengurusan.

Segalanya bermula daripada kegagalan Perak FC melunaskan tunggakan gaji pemain, yang dilaporkan selama tiga bulan, dan ia semakin parah apabila mula ada pemain yang bertindak meninggalkan pasukan itu.

Pada ketika kemelut itu, ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak, menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapatkan Kenny, yang berrasa lebih dihargai dan bersedia untuk membantu skuad Warga Kota itu bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

"Apabila pada suatu hari itu kami mempunyai perjumpaan dengan pihak pengurusan, saya tidak mahu menyalahkan sesiapa tetapi apabila saya mendapatkan jawapan mengenai persoalan saya daripada mereka, saya tidak gembira dengan jawapan mereka kerana jawapan itu tidak dapat memberikan saya semangat dan yakin bahawa masalah ini tidak akan berulang lagi," katanya dengan nada kecewa kepada Nadi Arena.

"Jadi saya mengambil keputusan untuk keluar. Selepas itu, saya mula berhubung dengan pasukan lain.

"Selepas itu, apabila pasukan Kuala Lumpur tampil menjelaskan misi dan visi mereka serta apa yang sedang dirancang mereka, saya menjadi berminat.

"Kemudian, apabila jurulatih mereka sendiri menghubungi saya, saya menjadi bertambah berminat kerana saya lebih gemar menjadi pemain kepercayaan jurulatih.

"Jadi apabila jurulatih mereka sendiri menghubungi saya, saya berasa amat dihargai kerana dia menyedari kualiti saya dan saya memilih untuk menyertai mereka," katanya.