Penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadi Azli Rahalim, membalas kepercayaan pengendali, Mohd Nafuzi Zain, dengan aksi meyakinkan ketika bertemu Perak, kelmarin.

Walaupun gagal menghalang kekalahan 1-3 dalam aksi pembukaan Liga Super itu, pemain berusia 19 tahun itu membuktikan dia layak berada dalam kesebelasan utama TFC.

Berketinggian 190cm, Rahadi yang pernah bersama skuad B-18 negara kendalian Brad Maloney beraksi cemerlang membantu TFC IV menjuarai Piala Belia musim lalu.

Tidak hairanlah Nafuzi melabel kelibat Rahadi sebagai bintang dalam pembikinan bukan sahaja kepada pasukan TFC tetapi juga kepada skuad kebangsaan.

"Saya rasa ianya satu kebanggaan apabila seseorang pemain membuat 'debut' dalam Liga Super ketika berusia 19 tahun.

"Dengan kerja keras yang berterusan, Rahadi adalah prospek utama yang memiliki potensi untuk pergi lebih jauh," jelas Nafuzi.

Dalam perlawanan kelmarin, Rahadi tidak menunjukkan tanda-tanda gugup selepas menafikan tiga percubaan Shahrel Fikri Fauzi.

Paling menarik ketika dia menggunakan kaki untuk menggagalkan peluang terbuka Guilherme De Paula ketika Perak memburu gol penyamaan.

"Bagi saya, (Rahadi) merupakan pemain terbaik perlawanan dengan aksi yang menakjubkan.

"Masa depan pasukan kebangsaan Malaysia nampak terjamin di posisi penjaga gol," kata pengendali Perak, Mehmet Durakovic.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)