Kedah pasukan yang lebih baik tapi belum cukup bagus, kata ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, selepas skuad Lang Merah itu tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam penentuan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ismail semalam.

Pengendali itu mengakui persembahan anak buahnya jauh lebih baik berbanding ketika tewas 0-3 kepada lawan itu dalam final Piala Malaysia musim lalu.

Baginya, Kedah lebih menguasai permainan tetapi belum cukup bagus untuk memadamkan jaringan pertahanan tuan rumah, Mauricio Dos Santos, dalam babak pertama.

"Inilah bola sepak. Adakalanya anda mencipta peluang tetapi tidak menjaringkan gol.

"JDT juga mencipta peluang tetapi tidak menjaringkan gol.

"Mereka hanya menjaringkan gol daripada satu gerakan set-piece.

"Secara keseluruhan, mereka pasukan yang lebih baik di atas kertas.

"Tetapi saya berbangga dengan pemain saya.

"Bukan mudah untuk mencipta pasukan dengan dua atau tiga pemain import baru.

"Pemain JDT pula sudah bersama sekurang-kurangnya selama dua musim.

"Seperti yang saya katakan, jika anda boleh mengambil peluang, anda akan memenangi perlawanan malam ini.

"Mereka sudah mencuba yang terbaik, jadi saya tidak boleh menyalahkan sesiapa," katanya.

Aidil Sharin turut memuji penjaga gol, Ifwat Akmal Chek Kassim, selepas pilihan utama, Sharil Saari, tidak dapat diturunkan kerana digantung perlawanan.

"Ifwat sudah menjalankan tugasnya dengan baik.

"Saya fikir pasukan kali ini lebih seimbang berbanding musim lalu.

"Saya harap ia akan menjadi persaingan yang baik bagi mereka berdua.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku selepas tempoh penggantungan Shahril tamat.

"Kita akan lihat, mungkin daripada aspek taktikal," tambahnya.