Penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, berharap diberi peluang mewakili skuad Harimau Malaya setelah sudah membuktikan kemampuannya dalam Liga Malaysia musim ini.

Anak jati Kelantan berusia 26 tahun itu mempamerkan aksi mantap apabila berjaya melakukan empat kali 'clean sheet' daripada sembilan perlawanan liga setakat ini.

Sememangnya, ia satu pencapaian buat mana-mana penjaga gol apatah lagi Kalamullah beraksi bersama pasukan yang dibarisi seratus peratus pemain tempatan.

Ini perkongsian lanjut Kalamullah bersama wartawan, Zulhelmi Zainal Azam.

"Setiap perlawanan penting bagi saya untuk menampilkan permainan terbaik dengan beraksi tanpa pemain import dan seluruh pasukan telah bekerja keras untuk menghasilkan keputusan positif," katanya.

"Berjaya tidak dibolosi dalam empat perlawanan adalah satu kepuasan dan sasaran saya dapat dipanggil menyertai skuad kebangsaan jadi saya akan terus beraksi dengan cemerlang bersama pasukan."