Pasukan gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT), mengidamkan untuk membolot baki tiga piala domestik musim ini selepas memulakan kempen 2020 dengan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih selepas menewaskan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim semalam.

Ketua jurulatih, Benjamin Mora, berasa lega selepas tandukan pemain pertahanan, Mauricio Dos Santos, dalam babak pertama membolehkan pasukannya memperoleh kemenangan dalam perlawanan itu, yang juga merupakan aksi pembukaan Liga Super musim ini.

Beraksi di depan 34,000 penyokong ternyata memberikan tekanan buat skuad Harimau Selatan itu sehingga tidak dapat beraksi pada tahap sebenar.

Namun, kemenangan ke atas Kedah itu sudah cukup untuk JDT mencatat sejarah baru sebagai pasukan pertama menjulang kejuaraan pembukan musim itu untuk tahun ketiga berturut-turut.

"Ia perlawanan yang sukar.

"Pada awal permainan, kami tidak dapat melakukan lima hantaran berturut-turut.

"Kerana ia adalah padang baru dan bola juga berbeza.

"Stadium ini adalah stadium yang berbeza.

"Saya fikir kesemuanya memainkan peranan," katanya.

Dengan piala pertama sudah berada dalam genggaman, JDT memasang hasrat untuk menyapu bersih ketiga-tiga baki piala musim ini, iaitu Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia.

"Sudah pasti kami mahu memenangi kesemua piala tetapi ia bukan mudah.

"Terdapat pasukan yang kuat seperti Perak, Selangor dan sudah pasti Kedah.

"Terdapat persaingan yang hebat kerana mereka sudah membaca permainan JDT.

"Kami memerlukan kepelbagaian dan pilihan untuk melakukan perubahan.

"Bukan daripada segi gaya (permainan) dan idea tetapi daripada segi cara kami menghadapi setiap perlawanan," tambahnya.