"Peluang kami tetap ada," itu nada positif pemain Pulau Pinang, Faiz Subri, mengulas mengenai ranjau yang diharungi skuad Harimau Kumbang untuk kekal dalam saingan Liga Super pada musim depan.

Pulau Pinang berada di tangga terbawah ketika ini selepas sekadar mengumpul sembilan mata daripada 16 perlawanan.

Dalam baki enam perlawanan, tiada pilihan buat skuad Zainal Abidin Hassan selain mengutip seberapa banyak mata sambil mengharapkan pasukan lain di atas mereka gagal melakukan perkara sama.

Kemenangan 3-2 ke atas Melaka United di tempat lawan kelmarin menambahkan lagi keyakinan Faiz dan rakan sepasukannya untuk terus memburu kemenangan, apatah lagi dua aksi seterusnya berdepan Kedah dan Pahang.

"Saya harap ini mungkin menjadi suntikan semangat untuk pasukan terus bangkit dan mencari kemenangan untuk kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

"Dalam keadaan seperti ini, apa sahaja boleh terjadi. Saya harap pasukan dapat fokus untuk mencari mata," katanya.

Perlawanan menentang Melaka adalah antara aksi terbaik yang dipamerkan Faiz pada musim ini selepas memperoleh satu jaringan dan membuka peluang gol untuk S. Kumaahran.

Secara keseluruhan, pemenang Anugerah Puskas 2017 itu mengakui terdapat ruang untuk ditingkatkan bagi membantu Pulau Pinang mencapai misi kekal dalam liga utama Malaysia itu.

"Gol ini untuk diri saya dan pasukan. Saya akan memburu gol lagi selepas ini. Bagi saya, musim ini agak kurang (baik), mungkin sebab banyak hilang fokus dan saya perlahan-lahan mencari semula rentak," tambahnya.