Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook rasmi mereka, Johor Southern Tigers, hari ini mengumumkan pemergian ketua pasukan mereka, Hariss Harun.

Dikhabarkan, pemain berusia 30 tahun itu mengambil keputusan berkenaan untuk pulang ke negara asalnya, Singapura, atas urusan keluarga disebabkan pandemik COVID-19 dan menamatkan kontraknya secara persetujuan bersama dengan JDT.

Sejak menyertai JDT pada 2014, Hariss telah memenangi tujuh gelaran Liga Super berturut-turut selain menjuarai Piala AFC pada 2015 dan sembilan lagi trofi domestik di Malaysia.

"Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) ingin mengucapkan terima kasih kepada kapten, Hariss Harun, atas kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, aksi persembahan penuh semangat dan atas segala jasa yang diberikan kepada kelab sejak debut beliau pada Januari 2014," kata kenyataan itu.

"Hariss menyertai JDT selepas menjulang gelaran Liga Super Malaysia bersama LionsXII dan kemudian memenangi tujuh lagi kejuaraan liga berturut-turut, Piala AFC 2015 bersejarah dan sembilan lagi trofi domestik di Malaysia.

"JDT dan Hariss telah bersama-sama bersetuju untuk menamatkan kontrak sebagai menghormati keputusan Hariss untuk kembali ke Singapura atas urusan keluarga disebabkan pandemik COVID-19 yang telah menyukarkan beliau untuk berulang-alik ke Singapura lebih kerap.

"Hariss telah melakukan 197 penampilan, bermain selama 15,367 minit, menjaringkan 12 gol, melakukan lima bantuan jaringan dan sering mempertahankan benteng pertahanan dari bahagian tengah. Hariss selayaknya menggelarkan dirinya sebagai legenda JDT."

Ketika permulaan projek ini pada 2013, saya tidak tahu banyak perkara tentang bola sepak tempatan. Saya mula lebih...

Posted by JOHOR Southern Tigers on Monday, 10 May 2021


*Kredit Photo: Johor Southern Tigers