Pengendali negara, Tan Cheng Hoe, mempunyai percaturan tersendiri membabitkan barisan serangan kebangsaan.

Pemain yang baru menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT), Guilherme De Paula, Syafiq Ahmad, tonggak Sarawak United, Norshahrul Idlan Talaha, selain bintang muda yang berkelana ke Belgium, Luqman Hakim Shamsudin, menjadi pilihannya dalam kalangan 25 pemain yang melaporkan diri dalam latihan pusat Harimau Malaya ketika ini.

Pasukan negara akan mengharungi tiga perlawanan terakhir Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.

Malaysia akan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun depan disusuli aksi menentang Vietnam, lapan hari kemudian sebelum berdepan Thailand (15 Jun).

Begitupun, pilihannya mengundang persoalan apabila tiada seorang pun pemain Terengganu FC seperti Hakimi Abdullah dan Arif Fadzilah Bakar -- biarpun menguasai tangga kedua Liga Super selain menumpaskan JDT, 24 April lalu -- termasuk penggempur berpengalaman, Amri Yahyah, yang mencipta impak bersama Sabah FC.

"De Paula misalnya (diserap) selepas dia mendapat kerakyatan Malaysia.

"Ini peluang saya untuk uji keserasiannya bersama pasukan.

"Luqman Hakim terbukti mampu bermain sebagai penyerang dalam kelayakan Piala Asia B-19 apabila menjaringkan banyak gol, jadi kami akan banyak pilihan di jentera serangan.

"Kami juga masih perlukan Syafiq Ahmad. Dia menjaringkan dua gol dalam perlawanan lalu selain mampu memberi impak.

"Sekurang-kurangnya ada 3-4 pemain termasuk Mat Yo (Norshahrul) mampu menjadi tonggak di bahagian serangan," katanya ketika ditemu ramah maya bersama Nadi Arena, hari ini.

"Posisi lain juga penting kerana kami perlu bermain sebagai satu pasukan."


Siaran Media: Senarai 25 Pemain Ke Kem Latihan Pusat Skuad Harimau Malaya Bermula 16 Mei 2021 Berikut senarai nama 25...

Posted by Football Association of Malaysia on Monday, May 10, 2021


Bekas penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar, menganggap Cheng Hoe pasti mempunyai alasan tersendiri untuk lebih selesa menerapkan falsafah permainannya kelak.

"Cheng Hoe tidak perlu bawa ramai pemain.

"Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Hakimi dalam prestasi terbaik tapi dalam masa terdekat, dia tidak perlukan ramai pemain di jentera serangan untuk perlawanan tersebut.

"Mungkin dia memerlukan seorang dua sahaja. Dengan taktikal seorang penyerang yang sering digunakan Cheng Hoe, De Paula dan Syafiq Ahmad sudah mencukupi.

Jadi penyokong jadi terlalu emosi dan melihat skop yang lebih luas.

"Perlawanan menentang UAE adalah penting, bukan masa untuk beri pendedahan atau peluang kepada pemain-pemain," katanya pula.