Bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, memberi bayangan bahawa dia mungkin meninggalkan Perak susulan kemelut dalaman yang melanda pasukan itu ketika ini.

Perak dilaporkan mengalami masalah tunggakan gaji pemain sehingga beberapa tonggak utama memilih untuk angkat kaki daripada pasukan Bos Gaurus itu -- antaranya J. Partiban dan Kenny Pallraj.

Situasi pasti lebih sukar buat Perak seandainya kehilangan penjaga gol utama mereka selepas ini dan bagi mengulas mengenai perkara itu, Hafizul Hakim berkata kepada Astro Arena: "Alhamdulillah, memang ada tawaran tetapi saya masih belum membuat keputusan.

"Buat masa ini, saya mahu menyelesaikan (urusan) keluarga saya di Ipoh dahulu dan Insya-Allah, selepas raya ini, dalam minggu depan, Insya-Allah saya akan mengesahkannya.

"Sejujurnya memang saya mahu kekal di Perak kerana sudah lama berada di sini tetapi perkara ini rezeki dan saya perlu berbincang dengan pihak pengurusan dan melihat bagaimana perancangan mereka untuk jangka panjang kerana saya tidak mahu masalah yang sama berulang.

"Jika saya tidak mendapat maklum balas yang positif daripada pihak pengurusan, mungkin saya terpaksa keluar," katanya.