Selangor sah mendapatkan kepakaran dari Jerman apabila mengumumkan Karsten Neitzel untuk menerajui pasukan itu dalam Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Menurut Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi laman sesawang hari ini, pelantikan jurulatih berusia 52 itu mendapat sokongan penuh daripada Pengarah Teknikal FAS, Michael Feichtenbeiner.

"Pertama sekali, saya mengenalinya dengan sangat baik memandangkan dia pernah menjadi pemain saya. Dia merupakan pemain tengah yang sangat bagus bersama pasukan saya dalam divisyen dua sebelum dia ke Bundesliga (menyertai Freiburg). Dia merupakan pemain yang sangat bertenaga.

"Lagipun, ia satu langkah yang baik jika kami (pengurusan FAS) dan saya sendiri sebagai pengarah teknikal melantik seseorang ketua jurulatih yang saya kenali.

"Dia mempunyai sikap yang baik, bekerja keras dan sentiasa mahu membuktikan dirinya di Asia.
Saya fikir dia akan bermotivasi untuk melatih pasukan Malaysia dengan mengendalikan Selangor," kata Feichtenbeiner dalam kenyataan itu.

Bekas pembantu jurulatih kelab Jepun, Urawa Reds, itu dilaporkan turut menonton perlawanan Selangor menentang Melaka United dalam Piala Malaysia, minggu lalu.