Sekalipun masih terluka dengan perpisahan bersama ketua jurulatih, B. Sathianathan, Selangor kini sedang menumpukan kepada satu era baru tanpa pengendali berpengalaman itu.

Pengarah teknikal dan ketua jurulatih sementara Selangor, Michael Feichtenbeiner, berkongsikan mengenai perancangan masa depan skuad The Red Giants itu, termasuk saga membabitkan kudrat pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

Dalam satu temubual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, dia berkata: "Ia waktu yang amat sukar. Hujung minggu lalu amat menyakitkan buat kami, semua penyokong Selangor, pegawai dan pemain terutamanya.

"Kami melakukan banyak kerja sepanjang 48 jam terakhir ini.

"Saya fikir mereka (pemain) sedar akan situasi yang istimewa ini tetapi dalam sesi latihan hari ini, saya amat gembira dengan suasana latihan.

"Mereka berkeinginan, bekerja keras dan dalam motivasi yang baik.

"Saya mahukan mereka bersikap terbuka dengan perkara baru dengan kehadiran saya.

"Sebagai jurulatih baru, saya pasti akan melatih (sesuatu yang baru), jadi tolonglah bersikap terbuka dan berada dalam suasana yang mahu bekerja keras kerana dalam beberapa perlawanan selepas ini, kami perlu bekerja keras," katanya.

Ditanya sama ada dia akan kekal mengendalikan pasukan itu bagi musim depan, Feichtenbeiner menambah: "Sudah pasti tidak. Perancangan kami adalah seorang ketua jurulatih baru akan hadir dan saya akan terus menjadi pengarah teknikal untuk melihat secara keseluruhan dan semua pasukan dalam kelab ini.

"Saya akan mengendalikan pasukan pelapis untuk membangunkan pemain muda.

"Sebagai pengarah teknikal, sudah pasti saya mempunyai calon (ketua jurulatih) dalam fikiran saya dan saya boleh menjanjikan kepada kesemua penyokong bahawa kami akan mencari jurulatih terbaik bagi musim depan.

"Saya fikir kami akan mencari jurulatih luar negara dan dia cukup muda dan bertenaga untuk mengetuai pasukan ini.

"Tetapi dia juga perlu mempunyai pengalaman kerana Selangor pasukan yang besar dan memerlukan jurulatih yang berpengalaman tetapi bermotivasi tinggi," katanya.

Mengenai Sumareh yang dikaitkan dengan pasukan itu, pengendali berbangsa Jerman itu menjelaskan: "Saya fikir apabila kita bercakap mengenai pemain terbaik di Malaysia, Sumareh salah seorang daripadanya.

"Tetapi perihal perpindahan tidak boleh didedahkan kepada umum. Perpindahan perlu dilakukan secara tertutup.

"Apa yang saya boleh janjikan adalah kami sedang mencari pemain terbaik untuk ditandatangani kerana kami mahu memiliki pasukan yang kuat," katanya lagi.