Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuat rayuan kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) agar diberi pertimbangan untuk kekal beraksi di Stadium Shah Alam menjelang aksi menentang Perak, Sabtu ini.

Masa semakin suntuk buat FAS sambil sebarang keputusan yang dilakukan perlu diambil kira semua pihak selain keperluan pasukan sebagai keutamaan agar tidak mengganggu momentum mereka yang bermula dengan baik bagi saingan musim ini.

Satu perjumpaan diadakan di Wisma FAM melibatkan Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon, untuk kata putus berhubung isu itu.

"Kalau boleh kami ingin beraksi di Stadium Shah Alam. Ia stadium keramat Selangor. Diharapkan keputusan nanti memberi sedikit kelebihan buat kami," kata pengurus skuad Gergasi Merah, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid.

Faktor kepenatan dilihat bakal menjadi isu jika Selangor bersetuju untuk menukarkan venue di Ipoh, Perak memandangkan aksi ketiga mereka bakal berkunjung ke Terengganu.

Keputusan melibatkan isu itu bakal diketahui hari ini.

"Sudah tentu antara perkara yang difikirkan dalam menentukan venue ini adalah memenuhi kriteria yang ditetapkan MFL sambil melihat keperluan pasukan. Selangor akan ke Terengganu selepas bertemu Perak dan ia menjadi faktor utama."