Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyasarkan beberapa pengadil tempatan akan meraih status profesional menjelang pertengahan tahun ini.

Tidak dinafikan, kedudukan pengadil sentiasa menjadi tumpuan berdasarkan keputusan yang dibuat dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh, menjelaskan dia berpuas hati dengan prestasi pengadil tempatan sepanjang tahun ini meskipun terdapat beberapa aduan yang dikemukakan.

Seramai 20 pengadil telah disenaraipendekkan oleh jawatankuasa itu untuk dipertimbangkan status mereka sebagai profesional.

"Kami menjalankan beberapa proses untuk pengadil tersebut seperti temuduga dan mendapatkan hasil yang baik.

"Ia bukan sekadar mengambil seorang individu dan menyifatkannya seorang pengadil profesional kerana langkah itu salah.

"Apa yang perlu kami lakukan adalah lebih teliti kerana ia melibatkan dana dan imej," kata Subkhiddin dalam sidang media bulanan anjuran Jawatankuasa Pengadil FAM, hari ini.

Dalam masa sama, Subkhiddin turut mempertahankan keputusan penggunaan pembantu pengadil tambahan bagi perlawanan suku akhir Piala FA berbanding berbanding di peringkat sebelumnya.

"Kami yakin ketika di peringkat awal, ia lebih terkawal tetapi apabila memasuki saingan suku akhir, kualiti permainan menjadi lebih tinggi.

"Jadi, kami mahu mempraktikkan penggunaan bantuan pengadil dengan harapan ia dapat digunakan sepenuhnya bagi aksi liga yang baru selepas ini," ujarnya.