Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) perlu bayar atau mengucap selamat tinggal kepada Liga Malaysia (Liga-M) 2021 apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah pun menerima laporan rasmi berhubung masalah tunggakan gaji skuad itu.

Badan induk itu memberi amaran keras kepada KFA supaya melunaskan hutang sebelum 31 Ogos depan bagi mengelakkan masalah pelesenan tahun 2021.

"Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan saya telah menerima e-mel komunikasi di antara Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dengan Kedah FA dan terdapat laporan daripada pemain.

"Ketika PFAM memberikan masa kepada Kedah FA untuk melangsaikan tunggakan gaji dalam tempoh yang tertentu," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, kepada wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, hari ini.

Salam Aidiladha Daripada Persatuan Bolasepak Malaysia Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin...

Posted by Football Association of Malaysia on Thursday, July 30, 2020



Hari ini, seramai 23 pemain skuad Lang Merah membuat aduan kepada Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) selepas lima bulan menunggu pihak pengurusan untuk menyelesaikan tunggakan gaji sejak Februari lalu.

Stuart menjelaskan persatuan negeri itu perlu menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh ditetapkan supaya Liga-M tidak kekurangan satu pasukan.

Apatah lagi, terbukti bahawa Kedah merupakan pasukan yang mempunyai kualiti selepas menjuarai Piala FA 2019 sekali gus layak bersaing dalam kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Stuart juga berpendapat sekiranya melepasi tempoh yang diberikan, PFAM akan membawa isu ini kepada FAM.

"Jika masih terdapat tunggakan gaji, masalah ini akan membawa kesan negatif berkaitan lesen Kedah FA pada 2021.

"Saya harap KFA dapat selesaikan perkara ini dengan cepat dan kami tidak mahu apa-apa terjadi kepada Kedah kerana mereka amat penting kepada pembangunan bola sepak negara.

"FAM sedang berhubung dengan KFA untuk memastikan perkara ini dapat diselesaikan dan tiada masalah yang akan memberi kesan negatif untuk lesen 2021,"tambahnya.