Pemain tengah Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri, bersedia untuk mendengar tawaran daripada mana-mana pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim depan.

Kontrak Faiz bersama Pulau Pinang bakal tamat pada penghujung tahun ini dan memandangkan dia masih belum menerima sebarang kontrak lanjutan, dia bersedia untuk berunding dengan mana-mana pasukan.

Nama Faiz mula mencuri tumpuan selepas tercalon untuk anugerah PUSKAS FIFA 2016 sebelum diumumkan sebagai pemenang di majlis yang berprestij itu.

“Memang selepas kemenangan itu (anugerah PUSKAS FIFA), prestasi saya agak menurun tetapi insya-Allah saya akan bangkit dan fokus saya adalah untuk majikan saya, Pulau Pinang.

“Untuk musim depan, saya tidak mahu memikirkannya buat masa sekarang,” ujar Faiz.

Pulau Pinang bakal berhadapan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 1 Julai dalam aksi Liga Super dan baginya, satu mata sudah memadai jika memikirkan kekuatan yang dimiliki oleh juara bertahan itu.

“Kalau satu mata dikutip di tempat lawan, itu sudah cukup berharga tetapi jika berjaya meraih tiga mata penuh, tuah sudah tentu bersama kami,” kata Faiz.