Penyerang lincah Terengganu FC, Faisal Halim, teruja apabila berjaya menjaringkan gol di hadapan penyokong sendiri buat kali pertama.

Jaringan kedua daripada pemain berusia 23 tahun itu membantu Terengganu membenam UiTM FC 3-0 semalam.

Dua jaringan serta tiga assist, itulah sumbangan Faisal dalam musim pertamanya bersama Terengganu selepas 12 perlawanan.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu sekali lagi tampil cemerlang dengan menjadi arkitek kepada gol pertama Sang Penyu dan mencatatkan nama selaku penjaring untuk gol kedua bagi membantu Terengganu menjinakkan UiTM.

Lebih manis lagi, ia adalah kali pertama dia menjaringkan gol di hadapan penyokong sendiri.

"Ia merupakan jaringan pertama di laman sendiri. Saya berharap terus beraksi dengan cemerlang dalam perlawanan akan datang. Kami mahu memastikan Terengganu terus mengejar Johor Darul Ta'zim musim ini," kata Faisal.

Sementara itu pengendali Terengganu, Nafuzi Zain, akan terus menaruh kepercayaan ke atas penyerang import dari Brazil, David da Silva untuk mengetuai jentera serangan pasukan.

David sebelum ini mendapat kritikan terutama daripada para penyokong Terengganu setelah dia hanya mampu menyumbat dua gol dalam 11 perlawanan.

"Saya percaya dengan kemampuannya. Buat masa ini, kami perlu memastikan David mengelak daripada kecederaan dan meledak gol dalam perlawanan ini, ia bagus buat dirinya dan pasukan," kata Nafuzi.