Saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2020 yang bakal membuka tirai bermula 28 Februari ini bakal diserikan dengan kelibat pengadil wanita buat julung-julung kalinya.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid, berkata seorang pengadil dan seorang penolong pengadil wanita telah dipilih untuk menggalas tugas mengendalikan Liga Super dan Liga Perdana tahun ini.

"Ini adalah salah satu usaha FAM untuk mengetengahkan bakat pengadil wanita. Mereka telah lulus ujian kecergasan dan mempunyai bakat, kami berasa mereka memang layak diketengahkan.

"Selain itu, kita juga telah melatih tambahan 30 pengadil dan penolong pengadil baru bagi musim ini sebagai usaha untuk menjaga kesinambungan dalam melahirkan pengadil tempatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar pengadilan dan undang-undang bola sepak di Wisma FAM, Petaling Jaya, hari ini.

Sementara itu, Md Dali turut mengesahkan bahawa jawatankuasa tersebut telah mengenal pasti senarai pengadil dan pegawai perlawanan yang akan mengendalikan perlawanan pembukaan musim ini, iaitu Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah pada 28 Februari ini tetapi belum mahu mendedahkan butiran mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa pengadil tempatan akan terus diberi keutamaan dalam mengadili perlawanan Liga-M, termasuk perlawanan penting serta melibatkan aksi Piala Malaysia dan Piala FA.

"Pengadil janu berkualiti dan mendapat pengiktirafan daripada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) dan FIFA untuk mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa. Tetapi terpulang kepada MFL (Liga Bolasepak Malaysia), sekiranya ada permintaan daripada mereka, mungkin kami akan lihat bagaimana."

-- BERNAMA