Penyerang import Kelantan, Alessandro Celin, mengakui dua jaringannya ketika bertemu Melaka United dalam aksi terakhir Liga Super, semalam memberi nilai tersendiri buatnya apabila menjadi hadiah perpisahan bersama The Red Warriors.

Celin melalui musim yang sukar dalam tahun pertamanya bersama Kelantan pada musim ini selepas dihimpit masalah kecederaan dan penyerang dari Brazil itu hampir digantikan dengan pemain import lain ketika jendela kedua perpindahan pemain dibuka pada Jun lalu.

Namun, daripada watak picisan, Celin memainkan peranan utama setelah masuk sebagai pemain gantian apabila menyumbat dua gol untuk membolehkan anak buah Zahasmi Ismail meraih kemenangan 3-1 ke atas Melaka, sekali gus memastikan Kelantan kekal dalam Liga Super, musim depan.

“Malam ini saya menjaringkan dua gol penting. Saya cuba memberikan aksi terbaik apabila dimasukkan dan berjaya membantu pasukan untuk kekal dalam Liga Super. Ya, ini adalah hadiah buat pasukan Kelantan,” katanya.

Kejayaan itu jelas menggembirakan seluruh penyokong Kelantan, terutama yang hadir memberi sokongan di Stadium Hang Jebat, membolehkan Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, berasa lega.

“Saya tengok pengorbanan pemain amat besar walaupun ketandusan kemenangan sejak akhir-akhir ini. Kami akan berjuang dalam saingan Liga Super 2018,” ujar Bibi Ramjani.