Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, mengakui pasukannya dihukum kerana kelekaan terhadap dua pemain Selangor, Brendan Gan dan Ifedayo Olusegun.

Pahang tewas 1-2 kepada Selangor dalam perlawanan pertama Liga Super di Stadium Darul Makmur semalam dengan kedua-dua ayam tambatan skuad Gergasi Merah itu menemui sasaran.

Bagi Dollah, kedua-dua jaringan itu terhasil kerana pertahanannya tidak dapat mengekang penguasaan Selangor yang dijana Brendan dan Ifedayo.

"Kesilapan-kesilapan bahagian pertahanan menyaksikan mereka terlalu jauh dengan penyerang lawan.

"Saya sudah selalu tekankan, berdepan pemain Selangor seperti Ifedayo dan Brendan, sekiranya anda memberikan ruang memang mereka akan melakukan sesuatu," katanya.

Dalam pertembungan di Kuantan itu, Ivan Carlos terlebih dahulu meletakkan Pahang di depan, namun mereka tidak berupaya untuk mengekalkan penguasaan itu untuk Ifedayo menyamakan kedudukan sebelum Brendan menjaringkan gol kemenangan Selangor pada lewat permainan.

"Ini masanya untuk tewas," kata Carlos.

"Kami akan menyedari setiap kesilapan dan akan memperbaikinya agar tidak tewas lagi."