Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani IIias Khan, menegaskan Fajer Ibrahim masih lagi kekal sebagai pengendali The Red Warriors (TRW) dan akan mengetuai Kelantan memburu kemenangan ketika menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

KAFA menerima baik penjelasan yang diberikan jurulatih kelahiran Syria itu dan masih menaruh kepercayaan tinggi terhadap kemampuannya membina semula kekuatan TRW menggunakan khidmat pemain muda.

“Isu Fajer ini, kita sudah mencapai keputusan bersama dan dia kekal sebagai ketua jurulatih TRW. Isu peletakan jawatannya tercetus mungkin disebabkan rasa kecewa selepas Kelantan mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada JDT dan PKNP.

“Namun, bagi saya, biarpun tewas tetapi kita dapat lihat sinar dalam pasukan muda ini. Saya harap, semua peminat dapat berdiri teguh di belakang Fajer untuk bersamanya membina semula kekuatan pasukan,” katanya.

Sementara itu, Bibi Ramjani turut mengharapkan barisan TRW terus memberikan aksi terbaik bagi mencari kemenangan kedua dalam Liga Super, sekali gus keluar daripada zon penyingkiran.

“Kita perlu menang untuk mengutip mata bagi memastikan TRW keluar daripada zon merah dan seterusnya layak untuk aksi Piala Malaysia 2018.

“Buatlah yang terbaik demi lencana di dada," ujarnya.

Untuk rekod, selepas mengharungi lapan perlawanan, Kelantan kini menghuni tangga kedua tercorot dengan mengumpul lima mata hasil satu kemenangan dan dua keputusan seri.