Itu saranan yang mahu diterjemahkan pasukan PDRM, selepas melewati langkah kiri untuk permulaan musim 2020.

Keadaan semasa jelas tidak memihak PDRM, Setiausaha Kehormat PDRM, ACP Zulkefly Yahya, mengusulkan tindakan tiada penyingkiran akhir musim ini kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, yang juga merupakan presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Dengan keadaan luar biasa yang sedang berlaku, Zulkefly membayangan perlu ada perubahan ketetapan daripada pihak pengelola dan badan induk agar ia lebih adil untuk semua pasukan.

"Itu yang kami minta dan mohon kepada FAM dan MFL perlu mengkaji semula. Kami telah memulakan saingan kali ini dengan pemotongan tiga mata dan saingan akan dijalankan dengan kekurangan permainan," kata Zulkefly.

Dalam masa sama, Zulkefly menegaskan, isu gaji tidak perlu dibangkitkan lagi kerana penjadualan pembayaran melibatkan 50, 30, dan 20 peratus dengan jumlah sebanyak RM1.3 juta telah pun diselesaikan.

Zulkefly ternyata berang dengan kenyataan di media sosial yang masih mengaitkan PDRM dengan masalah pembayaran gaji musim ini.

"Kami berharap media sosial tidak akan mengungkitkan lagi hal ini, kami telah menyelesaikan tunggakan gaji setiap pemain."

Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) mengesahkan jumlah tunggakan gaji pemain sudah mencecah RM4.6 juta.

Ia membabitkan 11 pemain import dan enam tempatan.

FAM sudah mengarahkan KAFA untuk melangsaikan tunggakan gaji pemain tempatan hampir mencecah RM400,000 sebelum 30 Jun ini atau berdepan tindakan.