Pemain pertahanan kelahiran Serbia, Igor Zonjic, melengkapkan senarai lima pemain import Terengganu FC (TFC) selepas menandatangani kontrak setahun, hari ini.

Pertama kali beraksi di Asia, Zonjic, 26, yakin dapat segera menyesuaikan diri serta memperagakan aksi memukau untuk merealisasikan sasaran tiga teratas dalam Liga Super 2018.

Menurutnya, dia kini pada tahap kecergasan terbaik sebaik tamat saingan Liga Serbia bersama bekas kelab, FK Rad, dan akan berehat selama lima hari sebelum menjalani latihan bersama TFC.

“Saya gembira berada di sini dengan cuaca dan bandar yang baik. Tiada masalah kerana semuanya berjalan lancar dan saya yakin 2018 akan menjadi musim yang cemerlang buat kami,” katanya.

Pengendali TFC, Irfan Bakti Abu Salim, pula menyifatkan tonggak import terbaru itu mampu menyelesaikan kepincangan barisan belakang pasukannya.

Malah, dengan lengkapnya senarai pemain, dia kini boleh memberi perhatian kepada latihan untuk membentuk keserasian pasukan.

“Musim lalu kami mudah dibolosi melalui situasi bola mati dan saya berharap Igor (Zonjic) berupaya memimpin benteng pertahanan kami.

“Dia akan digandingkan dengan pemain tempatan selain Thierry (Chantha Bin) yang boleh juga beraksi di bahagian pertahanan,” ujar Irfan.