Zainal Abidin Hassan hampir pasti mengekalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih Melaka United biarpun pasukan itu sebelum ini menyenaraikan tiga calon sebagai penggantinya.

Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) meletakkan calon dari Korea Selatan, Lee Eul-yong, sebagai calon utama tetapi terpaksa membuat pusingan U berikutan kekangan kewangan.

Dua lagi calon lain, iaitu K. Devan (Negeri Sembilan) dan E. Elavarasan (Sarawak United) pula telah mengikat kontrak bersama pasukan lain.

Ia menyaksikan pasukan itu kembali membuka perbincangan dengan Zainal Abidin dan jurulatih yang mesra disapa Chip itu meluahkan kesediaannya untuk mengemudi skuad Hang Tuah berkenaan untuk semusim lagi.

"Persatuan masih lagi mempunyai kepercayaan terhadap saya dan memberikan saya peluang untuk mengendali pasukan Melaka dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi dan menyiapkan perancangan pasukan," kata Zainal Abidin kepada wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

"Saya tahu dalam keadaan (pandemik) COVID-19 ini kewangan juga terhad, jadi saya sedang menyiapkan perancangan saya."

Tambah Zainal Abidin, kertas kerja yang diminta MUSA berkenaan perancangan musim depan hanya akan dibentangkannya esok.

Jelasnya lagi, syarat dan permintaan yang ditetapkan persatuan berkenaan merupakan sesuatu yang wajar untuk mereka mengecap kejayaan lebih baik dalam musim 2021.

"Sebagai persatuan, mereka mempunyai hak dan sebagai jurulatih, saya perlu menyahut cabaran itu.

"Semua syarat-syarat itu akan dibentangkan esok dan selepas itu barulah saya akan tahu apa yang diterima dan apa yang tidak diterima.

"Buat masa ini, kami akan duduk semeja dan berunding untuk mendapatkan satu jawapan terbaik buat pasukan," tambahnya.