Jurulatih baharu Kelantan, Zahasmi Ismail, yakin mampu menggabungkan elemen pengalaman dan semangat darah muda dalam pembentukan skuad The Red Warriors (TRW) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Keyakinan itu bersandarkan kepada sebahagian pemain berpengalaman yang masih memilih untuk menyarung jersi merah putih dan kemampuan pemain muda Kelantan yang menjuarai Piala Presiden tahun ini.

“Saya yakin (dengan pemain yang ada) mampu membentuk adunan skuad Kelantan yang terdiri daripada pemain berpengalaman dan muda untuk mengharungi saingan Liga-M yang cukup mencabar musim depan.

“Sepanjang minggu pertama latihan skuad TRW, saya masih meneliti dan sedang memikirkan pilihan terbaik untuk mengisi tempat kosong yang ditinggalkan pemain utama Kelantan yang telah berhijrah ke,” katanya.

Zahasmi juga bersikap terbuka dalam menentukan senarai pemain yang berhak membarisi kesebelasan utama TRW musim depan dan tidak semata-mata bersandarkan pemain yang ada "nama".

“Saya memberi jaminan bahawa pemain yang menunjukkan semangat yang tinggi dalam latihan dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada pasukan akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama TRW musim depan.

“Insya-Allah pemain muda (yang baharu diserapkan) akan mendapat peluang yang sama adil dengan pemain yang sudah memiliki ‘nama’ dalam Liga Malaysia jika menepati syarat yang saya tetapkan tadi,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan pemain import, Zahasmi menjelaskan pihaknya tidak mahu terburu-buru, sebaliknya ingin menyelesaikan satu persatu isu yang masih dihadapi skuad TRW kini.

“Sekarang kami dalam proses mencari. Cuma kami akan menjalankannya peringkat demi peringkat. Tetapi, buat masa ini, saya akan menyelesaikan isu pemain tempatan dahulu untuk mengisi ruang yang ditinggalkan.

“Selepas semuanya selesai,barulah saya akan memikirkan nama-nama pemain import yang difikirkan sesuai untuk bersama pasukan TRW,” katanya.