Zah Rahan terpaksa lupakan Felda

Oleh Penulis Jemputan 21 November 2017 17070
Zah Rahan terpaksa lupakan Felda
Selepas empat musim bersama Felda United, pemain tengah Liberia, Zah Rahan Krangar, kini mencari haluan baru apabila The Fighters tidak melanjutkan kontraknya bagi menghadapi saingan musim depan.

Sebagai pemain profesional, bekas pemain Persipura Jaya Pura di Indonesia itu menerima keputusan Felda walaupun sedih meninggalkan kelab itu.

Bagaimanapun, Zah Rahan tiada rungutan terhadap Felda yang menjaganya dengan baik selama empat tahun bersama mereka.

"Harus diakui sukar untuk sebuah pasukan dalam ASEAN untuk mengekalkan seorang pemain selama tiga atau empat tahun, jadi saya amat menghargai usaha Felda selama ini untuk memastikan saya kekal bersama mereka," katanya.

Pemain antarabangsa Liberia itu juga mengakui terdapat beberapa pasukan Liga Super yang menunjukkan minat terhadapnya selain beberapa kelab utama dalam Liga Satu Indonesia.

Zah Rahan akan memutuskan hala tujunya dalam tempoh seminggu ini, namun tetap menyifatkan kancah Liga Malaysia adalah pilihan utamanya.

"Ya, sudah tentu Liga Malaysia adalah pilihan utama saya. 

"Jika anda melihat liga-liga dalam ASEAN ketika ini, Malaysia memiliki antara liga yang terbaik. Bukan disebabkan saya bermain di sini tetapi daripada segi taktikal dan pemain-pemainnya sendiri, mereka menghormati pemain lain. Itu perkara paling penting dalam bola sepak," tambahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen