“Saya ingin berpesan kepada Eric, walaupun saya tidak tahu memasak tapi saya tahu nilai rasa masakan itu. Malah, saya tahu beliau memiliki resipi dan ramuan selain bagaimana proses bagi membentuk sebuah pasukan yang berjaya."

Presiden Melaka United Football Club (MUFC), Dato Seri Utama Idris Haron, memberi kiasan yang cukup mendalam buat jurulatih baru, Eric Williams yang bakal mengendali Melaka United musim depan.

Sebagai pengganti Mat Zan Mat Aris, Williams perlu menunjukkan sesuatu yang berbeza dan mampu membawa kejayaan buat skuad Hang Tuah itu dengan memberi sentuhan taktikal yang membolehkan Melaka United memenangi salah satu piala dalam Liga Malaysia.

“Saya menyedari tugasan berkenaan amat getir, namun saya yakin mampu bertindak cemerlang dan memenuhi misi yang ditetapkan,” kata Williams.

Jurulatih itu juga perlu membuktikan “sumpahan Mat Zan Mat Aris” tidak akan berlaku kepada skuad Melaka United untuk musim 2017.

Jurulatih berumur 61 tahun ini yang dilahirkan di York, England, pernah menjadi jurulatih untuk Perseman Manokwari dalam Liga Indonesia pada 2007 dan selepas itu, beliau menjadi ketua jurulatih Yangon FC dari tahun 2009 hingga 2014.

Pencapaian paling bermakna adalah membawa kejuaraan buat Yangon United dalam Liga Kebangsaan Myanmar dan Piala MFF Cup pada tahun 2011 dan tidak ketinggalan pada 2014, pasukan beliau pernah menewaskan Kelantan 5-3 dalam saingan Piala AFC.