Tugas berat menanti pengendali Melaka United, Eric Williams, bagi membentuk satu pasukan yang utuh biarpun tiga perlawanan pra-musim sebelum ini menyaksikan skuad bimbingannya mengekalkan rekod tanpa kalah.

“Saya tahu ini tugas yang cukup berat untuk saya tetapi tiada yang mustahil untuk saya berusaha menjadikan Melaka United salah satu pesaing dalam Liga Super nanti,” katanya ketika dihubungi.

Walaupun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah, ketiga-tiga lawan berkenaan bukanlah pencabar untuk Liga Super musim depan, sebaliknya lebih kepada aksi membentuk keserasian dalam kalangan pemain serta menerapkan taktikal yang dirangka jurulatih.

Williams yang sedang cuba membentuk jentera serangan yang berbisa, sedikit-sebanyak sudah boleh menarik nafas lega apabila melihat gandingan percubaan Amri Yahyah dan Ilija Spasojevic sudah makin serasi.

Mereka dilihat selesa digandingkan bersama dalam perlawanan pra-musim menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II) minggu lepas yang menyaksikan Amri berjaya melepasi halangan pertahanan lawan untuk menolak bola ke arah Spasojevic yang seterusnya meledakkan gol kemenangan.