Penjaga gol Sabah, Wan Azraie Wan Teh berhasrat untuk beraksi lebih lama bersama pasukan itu dan berharap namanya akan turut terpahat dalam hati penyokong skuad Tambadau seperti mana pernah dilakukan Khairul Azman Mohamed suatu ketika dulu.

Anak jati Terengganu yang akan memasuki usia 34 tahun Julai depan itu akui sangat kagum dengan apa yang dilakukan Khairul bersama Sabah sehingga menjadikan dia salah seorang legenda di negeri berkenaan.

Khairul pernah beraksi bersama Sabah dari tahun 1995 hingga 2005 dan pernah menjulang beberapa piala di situ termasuk Liga Perdana (kini Liga Super), Piala FA serta beberapa kali membawa pasukannya beraksi di final Piala Malaysia.

"Khairul seorang penjaga gol yang hebat dan orang di sini (Sabah) masih menyebut nama beliau walaupun kariernya bersama Sabah sudah agak lama berlalu.

"Insya-Allah, saya harap akan dapat diberi peluang lagi untuk berbakti kepada Sabah untuk beberapa musim lagi, walaupun musim pertama saya sebenarnya baru saja bermula," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Azraie turut mendedahkan dia sebelum ini pernah membayangkan beraksi bersama skuad daripada Borneo itu namun tidak sangka ianya menjadi kenyataan.

"Apabila ditawarkan peluang ini, saya tidak ambil terlalu banyak masa untuk membuat keputusan walaupun sedar cabarannya besar.

"Saya sangat berterima kasih kepada SAFA (Persatuan Bola Sepak Sabah) terutama presiden, Datuk Peter Anthony, pengurus pasukan, para jurulatih, pegawai dan juga rakan sepasukan kerana menerima kehadiran saya dengan baik sekali," katanya.

Sementara itu, Wan Azraie berkata dia sedar mendapat tempat sebagai penjaga gol utama bukanlah mudah kerana kesemua penjaga gol dalam skuad Tambadau ketika ini mempunyai kualiti tersendiri.

"Saya sedar sebelum ini Roy (Rozaimie Rohim) adalah penjaga gol utama yang membawa Sabah menjulang trofi Liga Perdana musim lalu.

"Apabila saya tiba di sini, apa yang saya tanamkan dalam diri saya adalah untuk bersaing menjadi yang terbaik kerana itulah yang dilakukan setiap pemain yang matang dan saya percaya Roy juga bekerja keras.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi penjaga gawang utama, saya akan cuba mengekalkan prestasi terbaik saya pada setiap perlawanan," katanya.

Wan Azraie sebelum ini memulakan aksi sebagai penjaga gol utama dalam tiga aksi pertama Liga Super sebelum direhatkan pada aksi keempat bertemu Perak di Stadium Likas akibat kecederaan.

Bagaimanapun, beliau kini sudah semakin pulih dan bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa sekiranya saingan Liga Super bersambung semula.

Pemain yang turut pernah menjaga gawang Tok Gajah beberapa tahun lalu itu juga bertekad untuk membantu Sabah menjulang sekurang-kurangnya satu piala.

Kredit foto: TRTOfficial