'Itu hanya khabar angin', ujar ahli lembaga pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Yusoff Mahadi, yang menafikan wujudnya gabungan 10 pasukan yang mengusulkan petisyen agar tiada penyingkiran Liga Super musim ini.

Hakikatnya, enam daripada 10 pasukan terbabit sudahpun menghantar surat rasmi kepada MFL penghujung September lalu sekaligus menepis dakwaan ia sekadar khabar angin.

Seawal bulan Julai iaitu sebelum aksi Liga Super disambung semula Ogos lalu sudah kedengaran cadangan daripada pasukan PDRM agar tiada penyingkiran dua pasukan terbawah.

Usul tersebut kemudiannya dipanjangkan ke pengurusan PDRM yang turut mendapat sokongan Sabah dan juga Felda United.

Difahamkan, Selangor juga antara yang menyokong usaha tersebut yang kemudiannya menghimpun gabungan 10 pasukan daripada Liga Super.

Dengan alasan hanya aksi satu pusingan dan penularan wabak Covid-19, enam pasukan kemudianya menghantar surat rasmi kepada MFL agar tiada penyingkiran musim ini.

Namun isu itu menjadi semakin rumit apabila Yusof langsung tidak mengetahui mengenai perkara tersebut dan mendakwa ia sekadar khabar angin.

"Saya berasakan perkara ini merupakan sesuatu yang tidak boleh dipastikan kebenarannya. Tiada sebarang usul yang telah diterima Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya.



Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon, tampil memberikan penjelasan mengapa mereka turut serta dengan mengeluarkan usul tiada penyingkiran walaupun mereka berada dalam zon selamat.

"Kami telah menghantar surat sokongan mengenai usul yang dikeluarkan oleh Sabah. Kami berpandangan apa yang diusulkan Sabah ada benarnya selepas tiada penyingkiran bagi saingan Liga Perdana sementara saingan liga yang telah dipotong separuh," kata Johan.

"Kerana sering kali dalam sesetengah pasukan memasuki baki separuh saingan liga, mereka dapat membawa pasukan pemain bagi memperkuatkan pasukan dan situasi itu tidak dapat dilakukan ekoran penularan wabak Covid-19 -- sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini."