Jurulatih PKNS FC, E. Elavarasan, memuji komitmen tinggi anak-anak buahnya sepanjang musim ini setelah berjaya membawa Sang Semut Merah kembali ke Liga Super musim depan selaku naib juara Liga Perdana 2016.

PKNS disahkan layak ke Liga Super musim depan sebelum sepak mula menentang Kuala Lumpur di Stadium Selayang, malam tadi. Ini berikutan pesaing terdekat, Johor Darul Ta'zim (JDT) II, sekadar seri tanpa jaringan bertemu DRB-Hicom pada aksi sebelah petang di venue berasingan.

Elavarasan mengakui usaha keras pemain dan barisan kejurulatihan menjadi kunci utama kejayaan mereka selepas dua musim beraksi dalam Liga Perdana.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang memberi sokongan kepada kami dari awal musim.

"Kami mengambil masa selama dua tahun untuk membentuk pasukan ini dan kami layak ke Liga Super, jadi ini pencapaian yang bagus buat PKNS," ujarnya selepas menundukkan Kuala Lumpur 2-0, malam tadi.

Sementara itu, kem skuad ibu kota menimbulkan persoalan apakah ikatan di antara jurulatih, Ismail Zakaria, dan pasukan itu akan berakhir.

Ia susulan Ismail telah meninggalkan padang sebelum perlawanan berlangsung dan pembantunya, Rusdi Suparman, ketika ditanya mengenai situasi itu menjelaskan,"Sebenarnya beliau ada urusan yang harus dilakukan untuk masa depan pasukan Kuala Lumpur.

"Pemain sudah sedia maklum bahawa beliau mempunyai tugas yang lebih penting."