Syarikat telekomunikasi tempatan, Unifi, difahamkan akan menarik diri daripada menjadi penaja utama Liga Malaysia (Liga-M), musim depan walaupun telah memeterai perjanjian 10 tahun dengan Malaysia Football League (MFL) sejak 2018.

Unifi menjadi penaja utama Liga-M musim ini, namun ura-ura terbaru itu dilihat cukup memeranjatkan memandangkan mereka baru sahaja menandatangani perjanjian selama 10 tahun itu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Wira Yusoff Mahadi, belum boleh memberikan pengesahan mengenai perkara itu.

Namun, beliau menyatakan keputusan tersebut akan diketahui dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL tidak lama lagi.

"Segalanya masih kabur mengenai perkara itu.

"Sebagai ahli lembaga pengarah, saya masih belum mendapat sebarang maklumat memandangkan Mesyuarat Lembaga Pengarah masih belum dijalankan.

"Mungkin terdapat perbincangan yang dijalankan, namun ia di luar pengetahuan saya setakat ini," katanya.

Menurut Yusoff, jika ura-ura itu benar, MFL perlu mengusahakan sesuatu agar kemeriahan Liga-M musim depan tidak terjejas disebabkan kekangan penajaan.

"MFL perlu melakukan sesuatu bagi mencari pengganti kepada Unifi atau mencari dana tambahan," tambahnya.

Unifi sebelum ini memeterai perjanjian bernilai RM480 juta dengan RM60 juta setiap tahun yang merangkumi hak penyiaran televisyen dan internet.