Mohd Ridzuan atau lebih mesra disapa 'Lekir' yang memimpin Ultras Taming Sari (UTS) sejak 2011, beranggapan kejayaan yang dipahat Melaka United membuktikan skuad Hijau Putih itu berjaya keluar dari kancah kehitaman selepas lima tahun berada dalam Liga FAM.

"Sokongan UTS tidak pernah terhenti meskipun pasukan ini pernah berhadapan pelbagai cemuhan ketika beraksi selama lima tahun dalam liga bawahan," katanya.

Melaka United muncul juara Liga FAM 2015, bersaing semusim saja dalam Liga Perdana dan merampas kembali gelaran Juara Liga Perdana 2016, sekaligus menamatkan kemarau trofi 33 tahun skuad Hang Tuah, selain kembali menempatkan diri dalam Liga Super 2017.

Lebih bermakna, kesetiaan penyokong bersama pasukan kesayangan mereka dalam mengharungi badai Liga Malaysia berbaloi apabila turut menerima Anugerah Penyokong Terbaik dalam majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2016, baru-baru ini.

Dalam masa yang sama, Lekir turut menyatakan badai Liga Super lebih sukar dan mencabar.

Apa yang diharapkan ialah agar rakyat Melaka tidak akan pernah berputus asa untuk terus menyokong, jatuh dan bangunnya pasukan Melaka United.