Pengurus UiTM FC, Mustaza Ahmad, menganggap perkhabaran mengenai perpindahan Dollah Salleh ke UiTM FC sebagai tidak masuk akal apabila berasakan reputasi bekas jurulatih negara itu tidak setaraf dengan skuad The Lions Troop.

Dollah disebut-sebut akan menyertai UiTM berikutan Pahang dikatakan mahu mendapatkan legenda Singapura, Fandi Ahmad, sebagai jurulatih baru musim depan.

Ia juga susulan jurulatih UiTM, Ismail Zakaria, dikatakan tidak mempunyai lesen pro Diploma Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang diwajibkan ke atas semua jurulatih Liga Super bermula musim 2020.

Perkhabaran itu, bagaimanapun, pantas dinafikan Mustaza apabila mengakui nama Dollah terlalu hebat sambil menegaskan khidmat Ismail masih ditagih.

"Mana kami ada duit untuk mendapatkan khidmat Dollah Salleh.

"Ismail sudah membawa UiTM ke tahap ini, pihak pengurusan akan memberikannya penghormatan (mengemudi pasukan) tetapi terpulang kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk memutuskan kedudukannya.

"Kalau MFL kata tidak boleh, kami tidak boleh kata apa-apa," katanya ketika dihubungi.

UiTM, yang menduduki tangga kelima Liga Perdana musim ini, layak ke Liga Super musim depan kerana mengisi kekosongan yang ditinggalkan PKNS FC apabila dijadikan sebagai kelab sokongan kepada Selangor.