UiTM FC tidak mahu dilabel sebagai pasukan pelengkap bagi musim 2021, skuad kendalian Frank Bernhart, melaung amaran awal bakal bersaing merebut kedudukan tiga terbaik di penghujung musim.

Ia bukan tugasan mudah dengan adanya nama nama besar seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Selangor mahupun Pahang.

Namun itulah sasaran yang ditetapkan presiden UiTM, Prof Dr Azizan Abdullah, dalam pertemuan ringkas bersama pemain UiTM di Stadium UiTM hari ini.

"Berdasarkan prestasi UiTM musim lalu, menamatkan saingan di tempat keenam merupakan keputusan yang mengejutkan. Saya berasakan pasukan ini mampu menghasilkan pencapaian yang lebih baik selepas persiapan yang dilakukan lebih baik kali ini," katanya.

"Walaupun dengan ada pasukan nama besar, saya percaya UiTM mampu memberikan cabaran."

Sasaran itu dianggap cabaran besar buat jurulatih, Frank Bernhart.

Namun sebagai jurulatih dia tidak mampu untuk menilai ia sebagai perkara mustahil.

Kedudukan keenam dalam saingan Liga Super musim 2020 menjadi penilaian dan kini dia perlu memastikan sasaran tiga kedudukan terbaik liga bukan sekadar angan-angan kosong.

"Ia adalah bukan tugas yang mudah, tetapi peluang tetap terbuka. Memastikan permulaan yang baik, mengumpul mata dalam saingan liga adalah sasaran utama sebelum kami memikirkan perkara seterusnya," kata Bernhardt.