Tunggakan gaji skuad Lang Merah dibayar secara berperingkat

Oleh Bernama 4 Ogos 2020 3753
Tunggakan gaji skuad Lang Merah dibayar secara berperingkat
Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) komited untuk melunaskan tunggakan gaji pegawai serta pemain skuad Lang Merah secara berperingkat bermula pertengahan bulan ini.

Presiden KFA Muhammad Sanusi Md Nor berkata buat permulaan tunggakan gaji Mac 2020 akan diselesaikan sebelum 15 Ogos ini.

"Tunggakan bagi April, Mei, Jun dan Julai 2020 akan dimaklumkan (cara) penyelesaiannya setelah rundingan mengenai pembayaran dilakukan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, keputusan berkenaan dicapai pada Mesyuarat Eksekutif KFA Kali-8 di sini, malam tadi.

Beliau berkata satu jawatankuasa khas kewangan juga akan dibentuk untuk mencari mekanisme terbaik dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji empat bulan dengan 'situasi menang-menang', memandangkan Liga Super musim 2020 akan bersambung 26 Ogos ini.

"Mesyuarat juga bersetuju mengekalkan pengurusan pasukan Liga Super Kedah sehingga tamat musim Liga Malaysia 2020 dan jumlah lantikan dalam pasukan akan dikaji semula.

"Ketika ini, pasukan terdiri daripada 48 individu termasuk pemain dan pegawai, (jumlah ini) akan menjurus kepada peningkatan bajet pasukan," kata menteri besar itu.

Muhammad Sanusi berkata mesyuarat juga memutuskan untuk memperkemaskan kedudukan kewangan KFA dengan memperkukuhkan penajaan dan mengemas kini status penajaan bagi musim 2020.

"Selain mengatasi beban hutang sejak September 2019, jawatankuasa khas kewangan itu juga akan berfungsi untuk mendapatkan penajaan melalui rundingan segera dengan bakal penaja baharu," katanya menambah KFA memerlukan minimum RM25 juta untuk operasi dan pengurusan pasukan musim ini.

Sementara itu, pada mesyuarat itu juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Mohd Firdaus Ahmad dilantik sebagai Setiausaha Kehormat KFA.

--  BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen