Ketua pasukan, Lee Tuck, memberi bayangan mahu menamatkan karier bola sepaknya di Malaysia ketika kontrak bersama Terengganu FC (TFC) bakal berakhir hujung musim ini.

Sambil merancang untuk terus berada dan kekal relevan dalam Liga Malaysia (Liga M), Tuck berkata dia masih mampu menyumbang sesuatu kepada pasukannya.

Menurut pemain kelahiran Halifax, England, itu lagi, keserasian ahli keluarganya terutama di Kuala Terengganu menguatkan lagi semangat untuk beraksi dalam Liga M.

"Untuk jangka masa panjang, saya mahu kekal bermain di Malaysia sehingga bersara daripada bola sepak.

"Saya gembira berada di negara ini, begitu juga isteri dan anak. Jadi harap-harap dapat beraksi selama mana yang boleh," jelas Tuck yang akan berusia 32 tahun, hujung bulan ini.

Sementara itu, menurut Tuck yang juga bekas tonggak Negeri Sembilan, dia semakin teruja untuk memulakan latihan berkumpulan selepas selesai ujian saringan Covid-19, semalam.

Ujarnya, walaupun masih tiada ketetapan tarikh bila mereka dapat kembali ke padang latihan atau saingan Liga M bersambung, dia tetap fokus dengan program latihan diberikan.

Peluang bertemu rakan-sepasukannya ketika ujian saringan semalam juga jelas Tuck cukup menggembirakan dan menandakan musim bola sepak semakin hampir.

"Latihan mungkin bermula beberapa hari atau kurang seminggu lagi. Semua orang tidak sabar dan teruja untuk kembali

"Walaupun dengan peraturan ketat, ketua jurulatih (Nafuzi Zain) sudah ada modul latihan tersendiri dan saya yakin kami akan biasakan diri," tambahnya.

Kredit foto: Liga Bolasepak Malaysia (MFL)