Ketua pasukan Terengganu FC (TFC), Lee Tuck, menganggap tempoh dua minggu di Chittagong, Bangladesh, sebagai persediaan terbaik menghadapi saingan musim depan.

Selain teruja dengan aksi barisan muda TFC yang membanggakan, Tuck menyifatkan mereka meraih pengalaman berharga beraksi dengan pasukan tuan rumah dan wakil dari India.

Kejayaan TFC sebagai pasukan jemputan untuk menjuarai Piala Antarabangsa Sheikh Kamal itu juga menjadi petanda positif selepas gagal dalam saingan tempatan.

"Majoriti tonggak utama tidak dapat bersama dan tempat mereka diisi beberapa pemain muda yang saya lihat mempamerkan kualiti tersendiri.

"Lima perlawanan diharungi dalam sembilan hari dan kami berjaya mengekalkan kekuatan mental serta fizikal," jelasnya.

Skuad kendalian Mohd Nafuzi Zain itu menang kesemua tiga aksi peringkat kumpulan sebelum mengatasi wakil India, Mohun Bagan FC, 4-2 di peringkat separuh akhir.

TFC kemudian mengesahkan kejuaraan selepas menang 2-1 ke atas juara Liga Perdana Bangladesh 2017/18, Abahani Limited, Khamis lalu, sekali gus membolot hadiah kemenangan AS$50,000 (RM208,000).

Lebih manis, Tuck yang beraksi di Bangladesh pada 2016, turut diangkat sebagai pemain terbaik kejohanan serta penjaring terbanyak.

"Kami mengambil serius kejohanan ini walaupun tanpa ramai pemain utama.

"Kejayaan ini membuktikan kualiti Liga Malaysia (Liga M) kerana TFC juga mewakili Malaysia," tambah pemain kelahiran Halifax, England, itu.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)