PAHANG 3 FELDA UNITED 1

Pahang menjamin kedudukan naib juara Liga Super apabila menjinakkan Felda United 3-1 dalam aksi di Stadium Darulmakmur, sebentar tadi.


Kesemua gol Pahang disumbangkan pemain import, Lazarus Kaimbi, Herold Goulon dan Dickson Nwakaeme sementara S. Chanturu memberikan gol sagu hati buat Felda United.

Tuan rumah turun dengan misi satu mata untuk mengesahkan kedudukan itu manakala kemenangan mampu melonjakkan The Fighters keluar daripada zon bahaya.

Kaimbi membuka tirai jaringan apabila menanduk masuk hantaran silang daripada kelincahan Saddil Ramdani pada minit ke-14 sebelum kelebihan itu dipadamkan Chanturu, 13 minit berselang.

Tok Gajah mengekalkan penguasaan, namun asakan yang diterajui Kaimbi sambil dibantu Mohamadou Sumareh belum cukup untuk menembusi gawang pelawat yang dikawal Norazlan Razali buat kali kedua.

Sejurus Nwakaeme dimasukkan pada minit ke-68, nasib barisan kendalian Dollah Salleh itu berubah apabila Goulon kembali meletakkan Pahang di depan -- gol ketujuhnya dalam liga -- menerusi tandukan kencang selepas menerima hantaran sepakan percuma Faisal Abdul Halim.

Nwakaeme melepaskan satu rembatan kencang dari dalam kotak penalti untuk mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-87 dan Sumareh turut berpeluang tetapi mensia-siakan sepakan penalti dalam masa pemberhentian.

Untuk itu, Felda yang bakal berdepan Kedah dalam aksi terakhir Liga Super, Ahad ini, memerlukan keputusan positif bagi mengelak daripada tergelincir ke Liga Perdana musim depan sambil sebuah lagi kelab, PKNP FC, yang di tangga ke-10, berkelebihan daripada segi perbezaan jaringan dengan
Felda manakala pintu buat pasukan tercorot, Kuala Lumpur, masih belum tertutup tetapi berdepan tugas sukar apabila akan berkunjung ke Perak.