Pahang menjadi pasukan yang hampir tidak melakukan perubahan sepenuhnya dalam barisan pemain tempatan kecuali menggugurkan tonggak import bagi menghadapi musim 2019.

Ketika pasukan lain berlumba-lumba untuk mendapatkan pemain berstatus bintang, reaksinya berbeza daripada juara Piala FA, Pahang.

Jurulatihnya, Dollah Salleh, berasakan bahawa ia bukan satu keperluan untuk mereka mendapatkan ramai muka baru kerana berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi yang ditampilkan kesemua pemain tempatan.

Beliau dijangka hanya cuba mendapatkan dua pemain tempatan untuk mengisi posisi tengah dan pertahanan kanan.

"Setakat ini, Pahang mengekalkan hampir semua pemain tempatan.

"Kalau adapun membabitkan muka baru, mungkin ada dua posisi saya cadangkan kepada Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah,
sekiranya berlaku apa-apa (yang tidak diingini) terhadap Matthew Davies serta Safuwan Baharudin dan Nor Azam Azih," kata bekas pengendali kebangsaan itu.

Mengenai status import, Dollah mengesahkan tiada lagi kelibat Issey Farran Nakajima dan Austin Amutu pada tahun depan.

Hanya khidmat Safuwan dikekalkan manakala seorang lagi pemain import, Patrick Cruz, pula dijangka meninggalkan Pahang kerana mendapat tawaran lebih baik daripada pasukan lain.

"Cruz mendakwa dia menerima tawaran lumayan daripada pasukan lain.

"Kami perlu ikut kemampuan dan selepas berbincang dengan presiden, sukar untuk kami menampung tuntutan tingginya," katanya lagi.