Ketua jurulatih, Dollah Salleh, mahu melihat lebih ramai pemain tempatan mampu mengikut jejak langkah bekas penyerang Pahang, Norshahrul Idlan Talaha, yang beraksi di luar negara iaitu bersama BG Pathum United di Thailand.

Beliau mengakui kualiti yang ada pada pemain tempatan selain mutu liga di negara ini yang makin meningkat bakal menjadi faktor pendorong untuk pasukan luar mula mengintai pemain negara ini.

Tambah bekas pengendali kebangsaan itu, penghijrahan pemain tempatan ke luar negara akan membantu kekuatan skuad Malaysia dalam jangka masa panjang.

"Kalau pemain-pemain dapat bermain di peringkat tertinggi, Insya-Allah mutu bola sepak kita akan meningkat.

"Sambil dibantu pemain naturalisasi, kami mahu pemain tempatan boleh mencapai tahap yang kami inginkan," katanya kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Mengenai persiapan skuad bimbingannya musim ini, Dollah mengakui skuad Tok Gajah akan menampilkan kelainan kerana bakal mempertaruhkan ramai pemain muda yang dinaikkan daripada skuad Piala Presiden.

Antaranya Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim, Muhammad Nur Izzat Che Awang dan Hasnul Zaim menjadi taruhan terbaru bagi menampung ketiadaan beberapa pemain senior yang telah berhijrah seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Zubir Azmi dan Norshahrul.

Malah, jurulatih berusia 57 tahun itu turut menaruh harapan kepada bekas pemain Kuala Lumpur, Hardee Shamsuri, bagi menguatkan barisan tengah selepas kehilangan Safuwan Baharuddin dan Salomon Raj.

"Kami akan menyenaraikan pemain skuad Piala Presiden yang rata-rata di bawah usia 23 tahun jadi mereka nampak selesa.

"Mereka sudah mula serasi dengan pemain senior."

Editor: Shaiful Shamsudin